BACK

page2

TARIKAT

AMALAN - AMALAN TARIKAT

Amalan - amalan tarikat adalah lebih untuk membersihkan diri dan jiwa. Selain solat yang di fardhukan amalan tarikat iaitu amalan khusus ialah sembahyang sunat bardain secara berjemaah atau sendiri dalam suluk. Kemudian diikuti zikir-zikir tarekat selepas bacaan istigfar iaitu Allah Allah Allah Allah Allah Allah Allah Allah............

*Datangi orang-orang yang ariff tentang tarikat untuk penjelasan lanjut
Penerangan

--------------------------------------------------------------------------------- TAREKAT UJIAN BALA BENCANA

--------------------------------------------------------------------------------

Allah s.w.t memilih dari kalangan orang-orang yang beriman orang-orang yang tertentu bagi menjalankan sesuatu tugas menurut kehendak-Nya. Mereka yang akan diberi tugas khusus akan dibawa melalui latihan kerohanian yang disusun secara langsung oleh Tuhan. Melalui latihan tersebut mereka mengalami perubahan kerohanian sehingga rohani mereka menjadi cukup kuat untuk menanggung beban tugas yang diamanahkan oleh Tuhan.

Latihan kerohanian secara khusus biasanya melibatkan ujian bala bencana. Ujian ditujukan kepada jiwa dan jiwa yang menghadapi tekanan ujian biasanya akan mengadakan tindak balas bagi menghadapi tekanan tersebut. Tindak balas itu membuat jiwa menjadi kuat dan berkemampuan menghadapi keadaan yang kan ditemui semasa menjalankan tugas khusus nanti.

Al-Quran telah menceritakan dengan indah kesah hamba Allah s.w.t yang telah berjalan dalam tarekat ujian bala. Surah Yusuf, surah yang ke dua belas, menceritakan kesah suka duka Nabi Yusuf a.s. Ketika kecilnya beliau a.s didengki dan dikhianati oleh saudara-saudara sendiri. Yusuf a.s dicampakkan ke dalam perigi yang dalam. Beliau a.s terpaksa tinggal di dalam perigi tersebut beberapa lama sehinggalah satu kumpulan pengembara datang ke tempat itu. Yusuf a.s diselamatkan daripada perigi tetapi dijual pula sebagai hamba. Beliau a.s dibeli oleh seorang bangsawan Mesir.

Zaman remaja Yusuf a.s menemukan beliau a.s dengan fitnah kaum wanita. Keelokan paras rupa Yusuf a.s menyebabkan beliau a.s menjadi idaman setiap wanita yang memandang kepada beliau a.s, termasuklah isteri tuannya sendiri. Keremajaan tidak membuat Yusuf a.s hilang pedoman. Beliau a.s berjaya melepaskan diri daripada perangkap wanita bangsawan, isteri tuannya itu, tetapi sebagai natijah kepada keengganannya melayani keinginan wanita tersebut beliau a.s telah dianiaya dan dimasukkan ke dalam penjara. Yusuf a.s menerima semua ujian itu dengan hati yang reda.

Ujian bala bencana yang dihadapinya satu persatu itu telah mematangkan jiwa Yusuf a.s. Bila jiwa beliau a.s sudah cukup kuat, tarekat ujian bala pun berakhir. Datang pula tarekat kehidupan harian. Yusuf a.s dikeluarkan daripada penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir secara terhormat.

Kesah suka duka Yusuf a.s memberi pengajaran kepada orang yang beriman bahawa hidup ini bukan selalunya senang, selesa dan mudah. Tidak semua yang diidamkan boleh diperolehi dan tidak semua yang dirancangkan boleh terlaksana. Kadang-kadang seseorang itu perlu melalui penderitaan yang lama sebelum menemui kebahagiaan. Yusuf a.s telah menempuh semua peringkat penderitaan dengan hati yang sabar dan tabah, sentiasa bertenang tanpa berkeluh-kesah. Setelah tamat tempuh ujian datanglah peringkat mempraktikkan apa yang sudah dipelajari selama berada dalam kursus intensif dahulu.

Nabi Musa a.s juga melalui tarekat ujian bala sebelum diangkat menjadi Rasul. Musa a.s berasal daripada keturunan Bani Israil. Kaumnya ditindas oleh kaum Kibti yang berkuasa. Pemerintah Kibti adalah Firaun. Ketika kaumnya ditindas oleh kaum Kibti, Musa a.s hidup dengan aman di dalam istana Firaun, kerana beliau a.s adalah anak angkat Firaun. Kehidupan yang tidak berhadapan dengan cabaran, penderitaan dan kesusahan tidak mampu membuat Musa a.s layak menerima jawatan sebagai Rasul Allah. Oleh itu Musa a.s dibawa kepada tarekat ujian bala bagi memantapkan kerohanian beliau a.s. Musa a.s dengan tidak sengaja telah membunuh seorang Kibti. Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan kaum Kibti. Mereka berpakat untuk membunuh Musa a.s. Musa a.s terpaksa melarikan diri, meninggalkan negerinya dan kesenangan yang dinikmatinya. Beliau a. s terpaksa merantau dari satu tempat ke satu tempat sehingga beliau a.s sampai ke negeri Nabi Syuaib a.s. Beliau a.s tinggal bersama-sama Nabi Syuaib a.s dan bekerja sebagai pengembala kambing. Setelah beberapa tahun kemudian Musa a.s berkahwin dengan anak Nabi Syuaib a.s yang bernama Siti Safar.

Setelah berkahwin Musa a.s membawa isteri beliau a.s merantau. Semasa dalam perantauan itu Siti Safar yang sarat mengandung mengalami kesakitan. Ketika itu hari hujan. Musa a.s tidak dapat menghidupkan api untuk memanaskan isteri beliau a.s. Beliau a.s keluar mencari api. Beliau a.s melihat cahaya api dari kejauhan. Beliau a.s pergi ke sana. Sampai di sana bukan api yang beliau a.s temui. Musa a.s menemui destininya. Beliau a.s menyaksikan kenyataan Tuhan dan beliau a.s diangkat menjadi Rasul.

Sebagai pesuruh Allah s.w.t, Musa a.s menerima perintah yang sangat berat. Beliau a.s mesti kembali kepada kaum Bani Israil dan kaum Kibti, menyeru mereka supaya kembali kepada ajaran tauhid. Musa a.s mesti berhadapan semula dengan kaum yang masih lagi menyimpan dendam mahu membunuh beliau a.s. Perintah Allah s.w.t mesti dilaksanakan tanpa ragu-ragu dan dengan membuang segala kepentingan diri sendiri.

Tarekat ujian bala bermula daripada manusia yang pertama lagi. Adam a.s dan Hawa hidup senang lenang di dalam syurga. Kehidupan syurga adalah abadi. Di dalamnya tidak ada kematian, tidak ada penyakit, tidak ada susah, tidak ada panas, tidak ada lapar dan tidak ada apa sahaja yang tidak menyenangkan. Rupanya kehidupan syurgawi tidak cukup untuk memantapkan kerohanian seseorang manusia bagi mencapai makam pilihan Tuhan dan mampu menanggung tugas khusus yang Tuhan tentukan. Selama Adam a.s tinggal di dalam syurga beban sebagai khalifah di bumi tidak dipikulnya. Beliau a.s perlu menjalani perubahan bentuk kehidupan, untuk itu beliau a.s dihantar ke bumi, ke dalam dunia. Di bumi Adam a.s menjalani tarekat ujian bala. Beliau a.s mesti menjalani tarekat yang ada kematian, ada penyakit, ada kesusahan, ada panas, ada lapar ada berbagai-bagai perkara yang tidak menyenangkan. Tarekat ujian bala mengajar dan memperkenalkan apa yang tidak dialami dan dikenal di dalam syurga, dengan demikian pengalaman dan pengenalan Adam a.s menjadi sempurna. Baharulah Adam a.s layak memikul tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Mahkota khalifah itu hanya boleh dipakai oleh Adam a.s setelah beliau a.s menjalani tarekat ujian bala dan memasuki pintu taubat. Ujian bala bencana dan taubat adalah dua perkara yang sangat penting dan berkesan dalam menaikkan taraf kerohanian seseorang insan.

Umat manusia yang dari keturunan Adam a.s akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh bapa mereka itu. Bahang syurgawi dirasakan juga oleh keturunan beliau a.s. Syurga adalah kekal abadi dan manusia merasakan tempat mereka tinggal ini juga abadi. Semasa di dalam syurga Adam a.s sangat menginginkan kehidupan yang abadi dan itulah yang membuatnya boleh diperdayakan oleh iblis supaya memakan buah daripada pokok larangan yang kononnya boleh membuatkan Adam a.s menjadi abadi di dalam syurga. Keturunan Adam a.s juga akan mendekati pokok larangan di dalam dunia kerana menyangkakan ia akan membuat mereka hidup kekal di dalam dunia. Pokok larangan di dalam dunia itu adalah hawa nafsu. Orang yang merasai buah daripada pokok hawa nafsu akan merasakan dunia ini sebagai syurga yang kekal abadi. Timbullah keasyikan kepada dunia dan lalailah mereka di dalam arus keseronokan. Dalam kelekaan itulah mereka dijajah oleh iblis.

Ketika manusia sedang asyik di dalam kelekaan dan dikuasai oleh iblis itu, jatuhlah kemurkaan Allah s.w.t ke atas mereka. Hancurlah syurga dunia mereka. Lenyaplah khayalan mereka tentang keabadian dunia dan kelazatan hawa nafsu. Tahulah mereka bahawa hawa nafsu adalah pokok larangan yang membuat manusia lupakan amanat Allah s.w.t. Manusia yang telah menerima padah daripada pokok larangan itu akan menjadi menyesal. Mereka bertaubat bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Bercucuranlah air mata mereka membasahi pipi, misai dan janggut. Sujudlah mereka ke Hadrat Ilahi Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Taubat telah menjadikan Adam a.s sebagai manusia pilihan dan diberi kedudukan istimewa sebagai khalifah Allah di bumi. Taubat juga menjadikan keturunan Adam a.s sebagai manusia pilihan yang akan meneruskan tugas kekhalifahan di bumi. Manusia yang diheret kepada taubat adalah manusia istimewa yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Seseorang hamba yang akan memikul tugas kekhalifahan di bumi akan dipersiapkan melalui cara yang sesuai bagi memantapkan kerohaniannya. Ujian bala bencana merupakan satu bentuk latihan yang perlu bagi membentuk kewibawaan seseorang. Orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala dipisahkan daripada kesenangan dan punca yang menyenangkannya. Dia dikeluarkan daripada alam keasyikan dan kelalaian. Beban dunia yang sedang dipikulnya, seperti kebesaran, kemuliaan dan kekayaan dicabut daripadanya. Dia dijadikan miskin sesudah kaya, hina sesudah mulia dan kerdil sesudah berkedudukan tinggi.

Hamba yang melalui tarekat kemiskinan ini akan menjadi sangat miskin sehingga dia hampir-hampir mengemis untuk mendapatkan keperluannya. Tuhan selamatkannya daripada menjadi pengemis. Dibukakan sedikit pintu rezeki untuknya. Bekerjalah dia sesuai dengan bidang rezeki yang dibukakan kepadanya. Bidang kerja peringkat ini berbeza daripada bidang kerja yang lalu. Kali ini medan rezeki yang boleh diterokainya sangat sempit, tidak memadai untuk dia menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapinya, hinggakan dia hampir-hampir meminjam. Bila dia sampai hampir kepada keadaan akan meminjam, Tuhan bukakan sedikit lagi bidang rezekinya. Selamatlah dia daripada keperluan meminjam.

TUTUP PINTU-BIARKAN

Latihan melalui tarekat ujian bala sehingga ke peringkat ini sudah berjaya menghancurkan sebahagian besar daripada keegoan dirinya. Dia sudah sampai ke pintu mengemis dan meminjam. Tuhan selamatkannya daripada mengemis dan meminjam kerana masih ada lagi sisa-sisa ego diri yang menghalangnya untuk mengemis dan meminjam dengan rela. Ujian bala bencana kan terus menekan keegoan dirinya sehingga sisa-sisa itu juga terhapus. Dia memasuki peringkat latihan kerohanian yang lebih berat. Pada peringkat ini pintu rezekinya ditutup sama sekali sehingga tidak ada jalan langsung untuknya mencari rezeki. Pintu meminjam juga tertutup baginya. Tuhan menghalang tangan manusia daripada memberinya pinjaman. Hiduplah dia dalam keadaan yang sangat susah. Beban berat yang menekan jiwanya itu menyebabkan hatinya ‘pecah’.

PERALIHAN

Peringkat ini merupakan peringkat peralihan kepada perkembangan kerohaniannya. Dirinya yang lama ‘digantikan’ dengan diri yang baharu. Hati yang telah ‘pecah’ itu ‘digantikan’ dengan hati yang baharu. Dalam suasana hati yang baharu inilah dia dapat merasakan sesuatu hubungan yang unik dengan alam ghaib. Dia merasakan seakan-akan petunjuk dan bimbingan ghaib mendatangi hatinya. Dia merasai kemunculan gerak hati yang datang dari daerah kesedaran yang dalam. Gerak hati yang demikian menguasai jiwanya. Dia bergerak dan melakukan sesuatu dengan ‘arahan’ atau cetusan rasa yang seni, yang kuat menguasai hatinya dan dia yakin dengan cetusan rasa tersebut. Cetusan rasa atau gerak hati itulah yang menjadi pembimbingnya. Pada tahap ini baharulah dikatakan dia benar-benar memasuki bidang kerohanian.

DAPAT GERAK HATI CETUSAN RASA DARI DALAM

Dia memasuki latihan kerohanian peringkat selanjutnya. Dia menerima cetusan rasa, gerak hati atau ‘perintah dari dalam’ agar dia mendapatkan apa yang diperlukan dengan cara meminta kepada orang lain. Tuhan bukakan tangan orang ramai supaya memberi kepadanya. Jika dia meminta dia akan memperolehi apa yang diperlukannya dan jika dia enggan meminta dia tidak akan memperolehi apa-apa. Peringkat meminta-minta ini merupakan latihan menghancurkan keegoan tahap paling halus. Sisa-sisa ego diri terhapus daripada hatinya. Tidak ada apa-apa lagi baginya kecuali mematuhi cetusan rasa atau gerak hati yang dinisbahkan kepada ilham yang dihantar oleh Tuhan. Perbuatan meminta-minta kepada orang lain tidak sedikit pun membuatnya berasa aib. Apabila orang ramai memberi apa yang dia minta, bertambahlah keyakinannya bahawa gerak hatinya adalah benar. Akhirnya dia sampai kepada tahap kematangan jiwa tanpa ego diri. Jadi, latihan di atas tidak diperlukannya lagi.

MEMINJAM

Bentuk latihan kerohaniannya diubah daripada meminta kepada meminjam. Tuhan bukakan hati orang ramai yang berkemampuan untuk memberinya pinjaman, walaupun pada zahirnya kelihatan dia tidak akan mampu membayar pinjaman tersebut. Dalam peringkat meminta-minta dahulu dia melihat makhluk sebagai sumber rezekinya. Pada peringkat meminjam ini pula dia melihat rezekinya datang daripada Tuhan melalui makhluk. Walaupun tangan manusia menghulurkan bantuan kepadanya tetapi dia melihat ‘Tangan’ Tuhan yang sebenarnya memberi. Dia melalui proses latihan yang demikian beberapa lama. Kemudian bentuk latihan diubah lagi.

CUKUP MENADAH TANGAN

Dalam peringkat latihan kerohanian yang berikutnya dia tidak boleh lagi melihat makhluk sebagai sumber rezeki dan juga tidak boleh bergantung kepada Tuhan melalui makhluk. Dia dibawa kepada suasana mesti bergantung kepada Tuhan semata-mata, tiada perantaraan. Pada peringkat ini Tuhan putuskan hubungannya dengan makhluk. Orang-orang yang dahulunya tidak keberatan memberi apa sahaja yang dia meminta dan meminjam, kini terhalang berbuat demikian. Tangan makhluk tertahan daripada memberinya sesuatu jika dia meminta kepada mereka. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan secara langsung. Jika dia memerlukan sesuatu, dia hanya perlu menadah tangannya, memohon kepada Tuhan, pasti Tuhan akan hantarkan apa yang diperlukannya itu melalui cara yang Dia pilih. Latihan yang begini membuat hatinya bergantung kepada Tuhan sahaja, tidak lagi melihat keberkesanan makhluk.

MINTA DENGAN HATI

Kemudian latihan yang dikenakan kepadanya diubah dalam bentuk lain pula. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan dengan hatinya, dengan berharap penuh kepada Tuhan, tanpa ucapan lisan, tanpa menadah tangan. Jika dia meminta dengan lisan atau menadah tangan dia tidak akan memperolehi apa yang diperlukannya. Jika dia meletakkan harapan kepada Tuhan di dalam hatinya Tuhan akan memberi. Latihan begini menambahkan kesedaran dan penghayatannya bahawa Tuhan mengetahui yang zahir dan yang batin, yang diucapkan dengan lidah dan yang dibisikkan oleh hati, yang meminta dan yang mengharap. Bertambahlah pengenalannya tentang Tuhan.

TIDAK MINTA APA-APA PADA TUHAN

Apabila dia sudah mengenali Tuhan secara demikian, dia dibawa kepada suasana latihan yang lain pula. Pada peringkat ini dia tidak boleh meminta apa-apa, baik secara lisan atau pengharapan dalam hati. Dia tidak boleh lagi berdoa atau menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Jika dia meminta atau berharap, apa yang diminta dan diharapkan itu tidak akan diperolehinya. Dia hanya boleh menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Terserah kepada-Nya mahu memberi atau tidak dan apa yang mahu diberi-Nya. Dalam suasana yang demikian dia dapati Tuhan tetap memberikan keperluannya walaupun dia tidak meminta dan mengharap. Tuhan tetap memeliharanya dan memberikannya apa yang patut. Pada peringkat ini dia mengenali Tuhan al-Karim yang memberi apabila diminta, memberi tanpa diminta, memberi hanya dengan hamba berhajat sahaja, memberi menurut keperluan hamba tanpa hamba meminta atau berharap, memberi yang lebih baik daripada apa yang hamba minta atau harapkan, memberi pada waktu yang sesuai hamba menerimanya dan memberi tanpa had, tanpa terpengaruh kepada permintaan, harapan atau kehendak sesiapa pun. Allah s.w.t adalah Tuhan yang berbuat apa yang Dia kehendaki. Pada tahap ini tidak ada lagi kehendak dan hawa nafsu yang mengingkari Tuhan pada si hamba itu. Inilah peringkat kewalian umum. Peringkat seterusnya bergantung kepada tugas khusus yang akan dipikul oleh hamba yang mencapai kewalian umum itu. Dari kalangan wali-wali yang umum itulah dipilih dan diberi latihan yang lebih khusus untuk menjalankan sesuatu tugas yang Tuhan kehendaki bagi manfaat makhluk-Nya.

Latihan kerohanian yang disusun oleh Tuhan secara langsung atau yang diistilahkan sebagai tarekat ujian bala memberi kesan yang lebih mendalam dan lebih cepat dalam mempertingkatkan kekuatan rohani, berbanding dengan latihan secara suluk dan lain-lain. Para sahabat Rasulullah s.a.w yang melalui tarekat ujian bala tidak perlu memasuki tarekat yang ada suluk atau khalwat, tetapi mereka merupakan golongan yang paling teratas dalam senarai wali-wali Allah s.w.t. Latihan secara bersuluk dan berzikir adalah jalan biasa, sementara pembentukan kerohanian secara ujian bala bencana adalah jalan pintas yang cepat menyampaikan kepada matlamat. Ahli ibadat dan ahli zikir mungkin mengambil masa dua tahun untuk mencapai tahap kerohanian yang dicapai oleh ahli bala dalam masa dua bulan.

Istilah ujian membawa maksud yang sangat luas. Ujian boleh ditakrifkan sebagai rangsangan atau pengaruh alam benda kepada rohani manusia. Alam benda pada hakikatnya tidak mempunyai sebarang kekuasaan dan kekuatan, tetapi percantumannya dengan alam rohani menyebabkan alam benda mampu mengeluarkan kesan dan pengaruh. Kesan dan pengaruh alam benda itu tertuju kepada rohani, iaitu menarik rohani agar melupakan kedudukannya yang asli yang hanya tahu bertauhid. Maksud ujian yang sebenarnya adalah ujian kepada pegangan tauhid. Rohani yang berpegang kepada tauhid diuji apakah alam benda akan membuatnya melakukan syirik. Dalam segi ini bolehlah dikatakan kewujudan alam benda hanyalah daya yang merangsang untuk menguji rohani. Ujian tersebut menjadi dalil sama ada rohani mampu bertahan dalam tauhid dan sampai kepada kedudukannya sebagai amr Tuhan atau pun jatuh ke dalam lembah syirik. Rohani yang dapat bertahan menerima ujian alam benda akan mengasihi Tuhan dan merindui-Nya. Rohani yang tewas di dalam ujian itu akan memanjai syahwatnya dan meletakkan sepenuh perhatian kepada alam benda.

Tujuan latihan kerohanian sama ada dengan cara berzikir atau ujian bala bencana adalah untuk mengeluarkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t daripada hati. Hati hanya layak diisi dengan Allah s.w.t, kecintaan kepada-Nya dan ketaatan kepada-Nya, sementara yang selain-Nya hanya layak duduk di pinggiran sahaja. Bagi mencapai tahap ini diperlukan kesabaran. Kesabaran merupakan sumber kepada segala kebaikan dan melaluinya orang yang beriman dapat meningkat kepada taraf menyerah diri dengan sepenuh kerelaan kepada Tuhan. Daripada makam sabar orang mukmin melompat ke makam reda. Ketika di dalam makam kesabaran ada perjuangan menentang yang batal. Bila sudah sampai kepada makam reda perjuangan tidak ada lagi kerana yang batal sudah hancur. Tipu daya syaitan, rangsangan hawa nafsu dan tarikan dunia tidak ada kuasa terhadap orang yang reda sepenuhnya dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Hati yang demikian dinamakan hati yang bertauhid.

Pada peringkat permulaan menerima ujian daripada Tuhan si hamba banyak berdoa memohon Tuhan mengangkatkan kesusahannya dan memberikannya kesenangan. Tuhan tidak menerima rayuannya dan dia dibiarkan berterusan di dalam kesusahan. Dia menghadapi perjuangan batin yang hebat. Senjatanya adalah sabar. Dia bersabar dan terus bersabar sambil meletakkan harapan kepada Tuhan. Setelah beberapa lama, kesusahan dan masalah yang dihadapinya tidak juga terangkat daripada bahunya, mulalah berubah pandangannya. Dia mula menilai kembali apa yang menyusahkan dan menjadi masalahnya itu.

Penilaian semula membuatnya melihat bahawa perkara yang dianggap sebagai kesusahan dan masalah itu sebenarnya bukanlah perkara besar yang perlu ditakuti untuk bertembung dengannya. Kesusahan dan masalah itu timbul daripada keinginannya terhadap sesuatu dan yang diingininya itu bukanlah sesuatu yang berharga, terutamanya pada sisi Tuhan dan pada kehidupan akhirat. Dia menyedari bahawa dia hanya mengejar sesuatu yang tidak berharga, yang diingini oleh hawa nafsunya, dan dia lari daripada sesuatu yang sangat berfaedah. Berubahlah keadaan hatinya dan hilanglah keinginannya kepada apa yang dia mahukan selama ini. Bila dia dapat mengalahkan keinginannya maka menanglah rohaninya. Rohani mula celik dan melihat kepada perjalanan takdir Tuhan, tidak lagi melihat kepada kekuatan makhluk yang bergerak di dalam arus takdir. Dia melihat bahawa segala perkara berada di dalam genggaman Tuhan. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mendatangkan kebaikan dan kemudaratan kecuali dengan izin Allah s.w.t. Fanalah dia dalam lautan takdir.

Kefanaan di dalam lautan takdir memperlihatkan aspek ketuhanan pada segala kejadian. Dia melihat Tuhan yang mentadbir dan mengurus. Jika dia memperolehi sesuatu pengetahuan dia merasakan Tuhan yang mendatangkan pengetahuan itu kepadanya. Keadaan ini membuatnya merasakan seolah-olah Tuhan bertutur-kata dengannya. Bertambahlah keseronokannya mengenang Tuhan dan bertambahlah keinginannya mahu menghampiri Tuhan. Orang yang berada pada peringkat ini tidak berminat lagi untuk mendampingi makhluk Tuhan. Dia lebih suka bersendirian sambil mendengar ‘tutur-kata’ Tuhan. Fikirannya telah bebas daripada urusan orang ramai dan dunia seluruhnya. Dia juga telah membuang usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu. Dia tidak lagi menggunakan cara keduniaan untuk mendapatkan sesuatu faedah atau menghindarkan sesuatu bahaya. Dia bergantung dan menyerah bulat kepada Tuhan. Ini menandakan dia sudah berjaya menundukkan hawa nafsunya. Apabila dia maju ke hadapan lagi dia sampai kepada suasana tidak mempunyai sebarang matlamat dan tujuan, baik berupa keduniaan atau pun keakhiratan. Maksud dan tujuannya hanya satu, iaitu Allah s.w.t. Ini menandakan dia tidak lagi dikuasai oleh sebarang kehendak dan keinginan. Pada tahap ini apa yang muncul daripadanya terjadi secara spontan, tanpa berfikir atau merancang dan pada masa yang sama dia merasakan kedamaian dan kelazatan berhubungan dengan Allah s.w.t.

Apabila hawa nafsu, kehendak diri dan segala sesuatu telah hancur dari hatinya, maka hati itu menjadi sesuai untuk diisi dengan kehendak Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikannya insan baharu yang dilengkapi dengan kehendak dan tenaga yang baharu. Kehendaknya sesuai dengan kehendak Allah s.w.t dan tenaganya bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memeliharanya agar sisa-sisa nafsu dan kehendak diri tidak kembali menguasainya. Apabila sisa-sisa nafsu dan kehendak diri cuba muncul, Allah s.w.t akan menghancurkannya sehingga selamatlah hamba itu berada di dalam suasana yang baharu. Bila hamba telah sesuai dengan Allah s.w.t, perintah-Nya, peraturan-Nya dan kehendak-Nya, maka seluruh alam akan tunduk kepada hamba Allah itu. Bila hamba menetap di dalam menjaga agar tidak terjerumus ke dalam yang haram, maka apa sahaja yang haram akan lari daripadanya walau di mana dia berada. Begitulah keadaan wali Allah (hamba yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah s.w.t).

Di dalam tarekat ujian bala si hamba bukan sahaja menjadi sasaran anak panah bala, malah kadang-kadang dia juga menjadi busur panah yang menghantar bala kepada orang lain, seperti peranan tanah, air, api dan angin yang menyampaikan bala kepada makhluk Tuhan. Bila Tuhan perintahkan air menghanyutkan apa sahaja, api membakar apa sahaja, angin menerbangkan apa sahaja dan tanah menimbuskan apa sahaja tanpa kasihan belas atau timbang rasa dan tidak ada ragu-ragu. Suami dipisahkan daripada isteri. Anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa. Pemilik dipisahkan daripada harta miliknya. Tanaman dipisahkan daripada peladang. Ternakan dipisahkan daripada penternak. Hamba Tuhan iaitu manusia, juga sering berfungsi sebagai alat yang menyampaikan bala kepada orang lain. Khaidir a.s diperintahkan menebuk kapal dan membunuh kanak-kanak yang masih kecil. Ibrahim a.s diperintahkan menyembelihkan anaknya sendiri. Manusia lain juga biasa mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ada orang yang terlanggar orang lain dan menyebabkan kematiannya, meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa tempat bergantung. Ada pula orang yang tertembak rakan sendiri semasa berburu. Ada juga kejadian seorang yang membawa anak jirannya bermain di pantai dan si anak tersebut mati lemas. Menjadi alat yang menyampaikan bala kepada orang lain lebih berat daripada menjadi sasaran bala, tetapi bila Tuhan kehendaki, perkara yang demikian tetap juga berlaku. Bila hamba reda menerima ujian bala dari Tuhan dan reda juga menjadi alat menyampaikan bala maka Allah s.w.t pun reda kepadanya:

Wahai nafsu muthmainnah! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dan) diredai. Iaitu masuklah ke dalam (golongan) hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku.
(Ayat 27 – 30 : Surah al-Fajr )

Hamba pilihan Tuhan dibawa kepada sesuatu matlamat yang khusus untuknya. Jika muncul di dalam hatinya sesuatu yang boleh mengubah haluannya menuju matlamat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, akan didatangkan ujian kepadanya agar kecenderungan yang cuba memesungkannya itu segera hilang dan dia kembali kepada haluan yang betul. Demikianlah hamba pilihan itu dijaga agar hatinya tidak terpengaruh dengan apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Melalui proses yang demikian hatinya menjadi bersih dan langkahnya akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Kesabarannya menghadapi ujian menjadi bertambah kuat. Bila Allah s.w.t reda dengannya, Dia akan menjaganya dan menyelamatkannya daripada kejahatan makhluk-Nya. Hati hamba itu menjadi kuat dalam mengawal anggotanya. Darjat takwanya bertambah dan tenteramlah dia di sisi Tuhan Yang Maha Perkasa.

Orang mukmin pilihan melalui dua peringkat kehidupan. Dalam peringkat pertama dia hidup dalam kesejahteraan, keberkatan dan menerima nikmat yang tidak terhingga. Perjalanannya sesuai dengan peraturan Tuhan. Rumah tangganya aman damai. Pekerjaan yang dibuatnya mendatangkan keberkatan. Doanya sangat makbul. Dia memperolehi ilmu yang halus-halus dan diberi pula kesempatan untuk menyaksikan perkara ghaib. Hiduplah dia dalam kedamaian, kesejahteraan, tidak diganggu oleh apa-apa pun. Kehidupan yang demikian menetap padanya beberapa lama sehingga dia menyangkakan itulah penetapan dan makamnya.

Kemudian datanglah peringkat kehidupannya yang kedua. Secara tiba-tiba sahaja Tuhan melontarkan batu-batu ujian kepadanya. Dia ditimpa oleh bala yang datang berturut-turut dan dari berbagai-bagai jurusan. Dia tidak berupaya menahan apa yang datang itu. Seluruh kehidupannya dibolak-balikkan oleh gelombang ujian. Dia menghadapi kesusahan dan penderitaan yang amat sangat. Perubahan yang berlaku secara mendadak itu membuatkan orang mukmin tadi tercengang-cengang, tidak mengerti. Dia kehilangan segala yang berharga. Orang-orang yang segolongan dengannya terpisah daripadanya tanpa sesuatu sebab yang kukuh. Dia tidak dapat mencari penjelasan. Jika datang sesuatu alamat atau mimpi dia tidak mampu menghuraikannya. Dia kehilangan pedoman untuk memahami sesuatu perkara yang sampai kepadanya. Bila dia membuat sesuatu janji dia tidak pasti apakah dia dapat melaksanakan janji tersebut. Bila dia berdoa tidak ada tanda-tanda yang doanya akan dimakbulkan. Bila dia cuba merenung ke dalam lubuk hatinya untuk mencari sesuatu keterangan, dilihatnya hatinya dibungkus oleh kejahilan. Apa juga cara yang digunakannya hanya kekecewaan yang ditemuinya. Hanya nasib malang yang menyata pada penglihatannya. Dia ditinggalkan dalam keadaan demikian beberapa lama. Dalam keadaan yang sudah sangat berat itu kadang-kadang kesusahan dan penderitaan ditambah lagi ke atas bahunya. Hatinya digoncangkan dengan sesungguhnya. Masuklah dia ke dalam ruang di mana semua pintu tertutup dan semua langkah terikat. Pada masa itu hatinya akan menjadi kosong. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal dalam hatinya. Tabiat dan sifat kemanusiaannya hilang terus. Kesedarannya terhadap dirinya tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi kesusahan dan penderitaan yang menimpanya. Tatkala itu dia hanya mempunyai kesedaran rohani semata-mata.

Ujian yang datang dengan hebatnya secara bertimpa-timpa telah menghancurkan dirinya yang mempunyai kehendak dan nafsu, yang sebelum itu datang dan pergi bersilih ganti Setiap kali diri yang hilang itu kembali ia menggerakkan sisa-sisa nafsu dan kehendaknya yang masih tinggal. Ujian yang datang dengan hebat itu telah benar-benar menghapuskan sisa-sisa nafsu, keinginan dan syahwatnya. Baharulah dia benar-benar mencapai tahap yang suci murni iaitu kesucian roh sebelum berkait dengan jasad. Baharulah dia benar-benar masuk ke dalam makam penetapan yang tidak akan berubah lagi. Bebaslah hatinya daripada lintasan dan rangsangan. Pancainderanya tidak ada kekuatan lagi untuk melakukan maksiat. Dia adalah umpama malaikat suci yang dipelihara daripada dosa dan noda. Allah s.w.t pun membuka pintu rahmat dan keredaan-Nya. Hatinya dipenuhi oleh cahaya iman dan ilmu. Dia dikembalikan kepada kedudukannya yang mulia. Keberkatan dan kesejahteraan hidup dikurniakan semula kepadanya. Dia menjadi tumpuan orang ramai. Mereka bersedia untuk berkhidmat kepadanya. Manusia dari berbagai-bagai lapisan mengunjungi dan memuliakannya. Dia dipelihara secara zahir melalui makhluk tetapi pada hakikatnya melalui kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Bila dia sudah sampai kepada makam penetapan keadaan yang ada dengannya berkekalan sehingga dia meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya.

Orang yang sedang dilatih pada jalan kerohanian akan mengalami ujian yang mengubah suasana hatinya. Perkara biasa jika doa mereka menjadi tidak makbul sesudah makbul, perkataannya tidak terlaksana sesudah ia mudah menjadi kenyataan. Ada orang yang diberi kebolehan untuk mengubati penyakit. Apa sahaja penyakit yang diubatinya akan sembuh. Kemudian keadaan berubah. Apa sahaja penyakit yang diubatinya tidak akan sembuh. Sesudah itu dia masuk kepada suasana di mana kadang-kadang sembuh dan kadang-kadang tidak sembuh, ada doanya yang makbul dan ada yang tidak makbul, ada firasatnya yang menyata dan ada yang tidak. Latihan yang demikian perlu bagi meyakinkannya bahawa dia tidak akan terlepas daripada pergantungan dengan Allah s.w.t walau dia berada pada makam mana sekali pun. Timbullah keyakinannya bahawa pada setiap makam kerohanian mesti ada pengharapan dan ketakutan kepada Allah s.w.t. Hamba Allah yang dijaga akan ditetapkan untuk menyaksikan kehambaannya pada setiap masa, pada semua makam. Sesiapa yang inginkan kejayaan pada jalan kerohanian dan mencapai ketetapan, hendaklah melazimi kehambaan sepanjang masa dengan sebenar-benar kehambaan pada segala keadaan dan makam.

Orang yang sedang melakukan mujahadah perlu mendirikan benteng di sekeliling hatinya. Hati itu perlu dipelihara agar apa sahaja yang selain Allah s.w.t tidak dapat masuk ke dalamnya. Hati mesti dipertahankan dengan pedang tauhid. Apa sahaja yang mahu masuk ke dalam hati dan mencabar kedudukan Allah s.w.t mestilah dipancung dengan pedang tauhid sehingga bebaslah hati daripada yang selain Allah s.w.t. Hati hanya dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t, ketaatan kepada Allah s.w.t, penyembahan hanya untuk Allah s.w.t, pemujian hanya untuk Allah s.w.t dan tidak ada apa lagi yang mencabar kedudukan Allah s.w.t pada hatinya. Bila keadaan ini sudah sebati dalam hatinya Allah s.w.t memasukkannya ke dalam pemeliharaan-Nya (kewalian). Tugas mengawal hatinya diambil alih oleh tentera-tentera Allah s.w.t yang bertugas melindunginya secara berterusan dengan menggunakan pedang tauhid. Syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh dunia dan makhluk yang merosakkan, angan-angan kosong dan apa sahaja yang tidak baik tidak berupaya lagi menawan hati hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t. Keberkatan, kekeramatan dan kemuliaan yang dikurniakan kepadanya tidak menggoncangkan hatinya. Isteri-isteri, anak-anak dan kaum keluarganya dijaga agar tidak menjadi fitnah kepadanya. Apa sahaja yang daripada dunia ditapis terlebih dahulu sebelum sampai kepadanya agar yang datang itu tetap bersih dan tidak membahayakannya. Beban yang ditanggungnya akan diangkatkan supaya tidak ada lagi penguasaan makhluk ke atasnya. Jadilah dia hamba yang merdeka daripada sekalian makhluk. Dia hanya memperhambakan dirinya kepada Tuhan. Dia masuk ke dalam penjagaan ar-Rahim yang mendakapnya dengan rahmat, kasih sayang dan keredaan-Nya. Penghidupannya adalah berenang dalam lautan takdir, bertindak secara spontan menurut firasat hatinya yang dipenuhi oleh nur suci.

Tanda seseorang itu telah sampai kepada makam takdir dan berada dalam ketetapan adalah Tuhan mengembalikan keinginannya (dalam keadaan terpelihara) dan dia diperintahkan supaya mengambil bahagiannya yang selama ini disimpan bagi keselamatannya. Bahagiannya itu ditahan buat sementara kerana dia masih di dalam perjalanan dan belum mencapai ketetapan. Tanpa ketetapan hati apa yang diingini boleh merosakkan hati itu sendiri. Bila dia sudah memperolehi ketetapan dia boleh menerima bahagiannya tanpa dicederakan oleh apa yang diterimanya itu. Apa yang diperuntukkan kepadanya hanya dia yang berhak mengambilnya. Tidak ada sesiapa yang dapat merebut haknya.

Allah s.w.t menetapkan keadaan hamba-Nya itu sebagai manusia biasa yang bertubuh badan dan hidup di dalam dunia supaya Dia dapat menyerahkan haknya yang Dia sebagai Pemegang amanah telah menyimpannya demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila hatinya sudah teguh dan kuat, tidak boleh digugat oleh apa yang diperuntukkan kepadanya, maka ia diserahkan kepadanya untuk dinikmatinya sebagai balasan terhadap perjuangannya menahan diri dan melawan hawa nafsu. Allah s.w.t bukakan pintu-pintu kebaikan supaya nyatalah kedudukannya pada sisi-Nya dan terbuktilah kebenaran janji-janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam mentaati-Nya. Allah s.w.t bukakan keinginannya terhadap apa yang disediakan untuknya dan dia digerakkan supaya meminta yang demikian. Permintaannya pasti dimakbulkan kerana Allah s.w.t tidak mahu menyekat bahagian yang Dia telah tentukan untuk hamba-Nya, juga supaya terbukti kedudukan hamba itu, keredaan Allah s.w.t kepadanya dan keberkatan doanya. Itulah nikmat yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas kepada-Nya, bersabar terhadap ujian-Nya dan reda dengan takdir-Nya, sekalipun panjang masa perjuangannya dia sentiasa mengawal diri agar tidak keluar daripada sempadan yang Dia tentukan dan melalui berbagai-bagai peringkat kerohanian sehinggalah mencapai makam penetapan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Setelah melengkapi bulatan perjalanannya dia kembali kepada kedudukannya sebagai seorang individu untuk mengambil bahagiannya dalam kehidupan dunia ini sehingga berakhir hayatnya.

Tarekat ujian bala adalah sistem latihan kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka mengajar manusia supaya mengenal Tuhan, mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran. Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui bimbingan wakil-Nya.

...........................................................................

PERANAN ZIKIR

--------------------------------------------------------------------------

JANGAN MENINGGALKAN ZIKIR LANTARAN ENGKAU BELUM SELALU INGAT KEPADA ALLAH S.W.T KETIKA BERZIKIR, SEBAB KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA TIDAK BERZIKIR LEBIH BAHAYA DARIPADA KELALAIAN KAMU TERHADAP ALLAH S.W.T KETIKA KAMU BERZIKIR. SEMOGA ALLAH S.W.T MENAIKKAN DARJAT KAMU DARIPADA ZIKIR DENGAN KELALAIAN KEPADA ZIKIR YANG DISERTAI INGAT KEPADA ALLAH S.W.T, DAN MUDAH-MUDAHAN ALLAH S.W.T AKAN MENGANGKAT KAMU DARIPADA ZIKIR YANG BESERTA KEHADIRAN ALLAH S.W.T DI DALAM HATI KAMU KEPADA ZIKIR DI MANA LENYAPNYA SEGALA SESUATU SELAIN ALLAH S.W.T. HAL YANG DEMIKIAN ITU TIDAKLAH SUKAR BAGI ALLAH S.W.T.

Empat keadaan yang berkaitan dengan zikir:
1: Tidak berzikir langsung.
2: Berzikir dalam keadaan hati tidak ingat kepada Allah s.w.t.
3: Berzikir dengan disertai rasa kehadiran Allah s.w.t di dalam hati.
4: Berzikir dalam keadaan fana dari makhluk, lenyap segala sesuatu dari hati, hanya Allah s.w.t sahaja yang ada.

Bukanlah sukar bagi Allah s.w.t untuk mengubah suasana hati hamba-Nya yang berzikir dari suasana yang kurang baik kepada yang lebih baik hingga mencapai yang terbaik.

Kerohanian manusia berada dalam beberapa darjat, maka suasana zikir juga berbeza-beza, mengikut darjat rohaninya. Darjat yang paling rendah adalah si raghib yang telah tenat dikuasai oleh syaitan dan dunia. Cahaya api syaitan dan fatamorgana dunia menutup hatinya sehingga dia tidak sedikit pun mengingati Allah s.w.t. Seruan, peringatan dan ayat-ayat Allah s.w.t tidak melekat pada hatinya. Inilah golongan Islam yang dijajah oleh sifat munafik. Golongan ini tidak berzikir langsung.

Golongan kedua berzikir dengan lidah tetapi hati tidak ikut berzikir. Lidah menyebut nama Allah s.w.t, tetapi ingatan tertuju kepada harta, pekerjaan, perempuan, hiburan dan lain-lain. Inilah golongan orang Islam yang awam. Mereka dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir kerana dengan meninggalkan zikir mereka akan lebih dihanyutkan oleh kelalaian.. Tanpa zikir, syaitan akan lebih mudah memancarkan gambar-gambar tipuan kepada cermin hatinya dan dunia akan lebih kuat menutupinya. Zikir pada peringkat ini berperanan sebagai ‘juru ingat’. Sebutan lidah menjadi teman yang mengingatkan hati yang lalai. Lidah dan hati berperanan seperti dua orang yang mempunyai minat yang berbeza. Seorang enggan mendengar sebutan nama Allah s.w.t, sementara yang seorang lagi memaksanya mendengar dia menyebut nama Allah s.w.t. Sahabat yang berzikir (lidah) mestilah memaksa bersungguh-sungguh agar temannya (hati) mendengar ucapannya. Di sini terjadilah peperangan di antara tenaga zikir dengan tenaga syaitan yang disokong oleh tenaga dunia yang cuba menghalang tenaga zikir dari memasuki hati.

Golongan yang ke tiga pula adalah mereka yang tenaga zikirnya sudah berjaya memecahkan dinding yang dibina oleh syaitan dan dunia. Ucapan zikir sudah boleh masuk ke dalam hati. Tenaga zikir bertindak menyucikan hati daripada karat-karat yang melekat padanya. Pada mulanya ucapan zikir masuk ke dalam hati sebagai sebutan nama-nama Allah s.w.t. Setelah karat hati sudah hilang maka sebutan nama-nama Allah s.w.t akan disertai oleh rasa mesra yang mengandungi kelazatan. Pada peringkat ini zikir tidak lagi dibuat secara paksa. Hati akan berzikir tanpa menggunakan lidah. Sebutan nama-nama Allah s.w.t menghalakan hati kepada Empunya nama-nama, merasai sifat-sifat-Nya sebagaimana dinamakan.

Golongan ke empat ialah mereka yang telah sepenuhnya dikuasai oleh Haq atau hal ketuhanan. Mereka sudah keluar dari sempadan alam maujud dan masuk ke dalam hal yang tidak ada alam, yang ada hanya Allah s.w.t. Tubuh kasar mereka masih berada di atas muka bumi, bersama-sama makhluk yang lain. Tetapi, kesedarannya terhadap dirinya dan makhluk sekaliannya sudah tidak ada, maka kewujudan sekalian yang maujud tidak sedikit pun mempengaruhi hatinya. Mereka karam dalam zikir dan yang dizikirkan. Mereka yang berada pada tahap ini telah terlepas dari ikatan manusiawi dan seterusnya mencapai penglihatan hakiki mata hati,

Mereka yang mempunyai penglihatan hakiki mata hati ada dua jenis. Jenis pertama adalah yang mempunyai nama dan tabir penutup. Hijab nama (asma’) tidak terangkat lalu dia melihat di dalam hijab. Dia melihat Allah s.w.t pada apa yang menghijabkannya. Zikirnya ialah nama yang padanya dia melihat Allah s.w.t. Jenis kedua pula ialah yang berpisah dengan nama dan hijab, lalu dia melihat Allah s.w.t dan merasakan ketenangan dengan penglihatan itu. Pada ketika itu tidak sepatah pun ucapan yang terucap olehnya dan tidak sepatah pun kalam yang terdengar padanya. Dia melihat nama itu tidak mempunyai kekuatan hukum apa pun selain-Nya. Bila nama dinafikan tibalah pada wusul (sampai). Bila tidak terlintas lagi nama tibalah pada ittisal (perhubungan). Nama yang tidak lagi terlintas disebabkan kuatnya tarikan dari yang dinamai. Makam ini dinamakan makam al-Buhut (kehairan-hairanan), kerana dia melihat Allah s.w.t dalam kehairan-hairanan, tiada ucapan kecuali pandangan. Inilah makam terakhir di mana semua hati terhenti di situ. Ia adalah tingkatan tertinggi tentang kecintaan terhadap zat Ilahiat.

Pada tahap ini Nur-Nya memancar, menyinar, menjulang naik ke lubuk hati. Peringkat ini sudah tiada zikir dan tiada pula yang berzikir, hanyalah memandang bukan berzikir dan tiada berbalik kembali pandangannya. Inilah hal yang dikatakan faham dengan tiada huraian pemahamannya dan mencapai dengan tiada sesuatu pencapaiannya. Insan di dalam hal ini sudah tidak lagi memohon fatwa, tidak memohon perkenan, tidak meminta pertolongan dan ucapan juga tiada. Baginya setiap sesuatu adalah ilmu dan setiap ilmu adalah zikir. Inilah hamba yang telah benar-benar berjaya menghimpun semua makam dan martabat. Dia sudah melihat takdir-takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t menghalau takdir demi takdir dan melihat bagaimana Allah s.w.t mengulangi takdir-takdir itu dengan berbagai-bagai cara yang dikehendaki-Nya kerana sesungguhnya Allah s.w.t sahaja yang memulakan penciptaan dan Dia juga yang mengulanginya. Penglihatannya tidak berbolak-balik lagi. Dia melihat Allah s.w.t di hadapan dan di belakang apa yang dilihatnya dan melihat Allah s.w.t dalam segala yang dilihatnya.

Apabila kerinduan terhadap Allah s.w.t telah menguasai hati seseorang hingga kepada tahap tiada ucapan yang boleh diucapkan maka keadaan itu dikatakan melihat Allah s.w.t yang tiada sesuatu yang menyamai-Nya, sebagaimana firman-Nya:

Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan pentadbiran)-Nya, dan Dia jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. ( Ayat 11 : Surah asy-Syura )

SUSUNAN : WALIKUTUB ...............................................................................

TANDA MATINYA HATI

--------------------------------------------------------------------------------

SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA MATINYA HATI IALAH APABILA TIDAK BERASA SEDIH JIKA TERLEPAS SESUATU AMAL KEBAIKAN DARIPADANYA DAN TIDAK MENYESAL JIKA TERJADI PERBUATAN YANG TIDAK BAIK OLEHNYA.

Kita telah dinasihatkan supaya jangan meninggalkan zikir walaupun tidak hadhir hati ketika berzikir. Begitu juga dengan ibadat dan amal kebaikan. Janganlah meninggalkan ibadat lantaran hati tidak khusyuk ketika beribadat dan jangan meninggalkan amal kebaikan lantaran hati belum ikhlas dalam melakukannya. Khusyuk dan ikhlas adalah sifat hati yang sempurna. Zikir, ibadat dan amal kebaikan adalah cara-cara untuk membentuk hati agar menjadi sempurna. Hati yang belum mencapai tahap kesempurnaan dikatakan hati itu berpenyakit. Jika penyakit itu dibiarkan, tidak diambil langkah mengubatinya, pada satu masa, hati itu mungkin boleh mati. Mati hati berbeza daripada mati tubuh badan. Orang yang mati tubuh badan ditanam di dalam tanah. Orang yang mati hatinya, tubuh badannya masih sihat dan dia masih berjalan ke sama ke mari di atas muka bumi ini.

Jika kita renungi kembali kepada diri zahir manusia, kita akan dapat menyusunnya sebagai tubuh, nyawa, naluri-naluri dan akal fikiran. Bila dibandingkan dengan haiwan, kita akan mendapati susunan haiwan seperti susunan manusia juga.. Haiwan mempunyai tubuh badan, nyawa dan naluri-naluri. Bezanya adalah haiwan tidak mempunyai akal fikiran. Oleh sebab manusia memiliki akal fikiran maka manusia boleh diistilahkan sebagai haiwan yang cerdik.

Haiwan yang cerdik (manusia), dipanggil nafsu natiqah menurut istilah tasauf . Pemilikan akal tidak mengubah manusia dari status kehaiwanan. Jika ada haiwan berbangsa monyet, harimau, kuda dan lain-lain, maka ada haiwan berbangsa manusia. Haiwan berbangsa manusia menjadi raja memerintah semua haiwan yang lain. Akal fikiran yang ada pada mereka membuat mereka boleh membentuk kehidupan yang lebih sempurna dari haiwan lain yang tidak berakal. Akal fikiran juga mampu membuat haiwan bangsa manusia menawan daratan, lautan dan udara. Walaupun mereka berjaya menawan daratan dengan kenderaan mereka namun, itu tidak membezakan mereka daripada kuda dan haiwan lain yang mampu juga menawan daratan. Walaupun mereka berjaya menawan lautan namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan ikan yang juga menggunakan lautan. Walaupun mereka berjaya menawan udara namun, itu tidak membezakan mereka daripada haiwan burung yang juga menggunakan udara. Kemampuan yang ditunjukkan oleh akal fikiran tidak mengubah status haiwan yang ada pada manusia. Apakah yang menjadikan manusia sebagai insan, bukan haiwan?

Manusia menjadi istimewa kerana memiliki hati rohani. Hati mempunyai nilai yang mulia yang tidak dimiliki oleh akal fikiran. Semua anggota dan akal fikiran menghala kepada alam benda sementara hati rohani menghala kepada Pencipta alam benda. Hati mempunyai persediaan untuk beriman kepada Tuhan. Hati yang menghubungkan manusia dengan Pencipta. Hubungan dengan Pencipta memisahkan manusia daripada daerah haiwan dan mengangkat darjat mereka menjadi makhluk yang mulia. Hati yang cergas, sihat dan dalam keasliannya yang murni, berhubung erat dengan Tuhannya. Hati itu menyuluh akal fikiran agar akal fikiran dapat berfikir tentang Tuhan dan kejadian Tuhan. Hati itu menyuluh juga kepada anggota tubuh badan agar mereka tunduk kepada perintah Tuhan dan menjauhi larangan-Nya. Hati yang berjaya menaklukkan akal fikiran dan anggota tubuh badannya serta mengarahkan mereka berbuat taat kepada Allah s.w.t adalah hati yang sihat.

Hati yang sihat melahirkan takwa, iaitu pengabdian kepada Allah s.w.t. Takwalah yang membezakan kedudukan seseorang hamba pada sisi Tuhan. Semakin tinggi darjat ketakwaan semakin hampir seorang hamba dengan Tuhannya. Semakin rendah darjat takwa semakin hampir seseorang dengan daerah kehaiwanan. Jika takwa tidak ada jadilah manusia itu haiwan yang pandai berfikir dan berkata-kata.

Haiwan yang pandai berfikir inilah yang dikatakan manusia yang mati hatinya. Dia tidak dapat menggerakkan fikiran dan anggotanya menuju kepada Allah s.w.t. Bahagian yang menghala kepada Pencipta tidak berfungsi, hanya bahagian yang menghala kepada alam benda merupakan bahagian yang aktif. Manusia yang mati hatinya atau manusia yang berbangsa haiwan ini tidak berasa sedih jika terlepas peluang baginya untuk melakukan amalan yang mendekatkan diri dengan Tuhan dan dia tidak berasa kesal jika dia berbuat dosa dan maksiat yang menjauhkan dirinya daripada Allah s.w.t.

Kematian hati tidak dapat dikenal jika seseorang itu mengambil daya nilai keduniaan sebagai piawaian. Ramai orang yang menurut pengertian tasauf sudah mati hatinya tetapi mereka mencapai berbagai-bagai kecemerlangan dalam kehidupan dunia. Mereka menjadi pemimpin kepada orang ramai. Mereka menciptakan berbagai-bagai benda keperluan manusia. Mereka berjaya mendaki Gunung Everest. Mereka memegang bermacam-macam rekod kejohanan. Mereka menguasai kekayaan dan berbagai-bagai lagi kejayaan dan kecemerlangan.

Apa juga kejayaan dan kecemerlangan yang diperolehi hendaklah diletakkan di atas neraca akhirat. Jika kejayaan dan kecemerlangan itu mampu menambahkan berat dacing kebaikan, maka kejayaan dan kecemerlangan itu adalah benar. Jika tidak ia hanyalah fatamorgana.